Automation

Kymco AK550 Premium dilancar untuk pasaran M’sia – unit CBU dari Taiwan, enjin 550 cc, harga RM65,600

Spread the love


Kymco AK550 Premium dilancar untuk pasaran M’sia – unit CBU dari Taiwan, enjin 550 cc, harga RM65,600

Modenas selaku pengedar eksklusif motosikal jenama Kymco di Malaysia hari ini melancarkan AK550 Premium untuk pasaran, pada harga RM65,600 tidak termasuk insurans. Ia adalah unit yang diimport (CBU) dari Taiwan dan ditawarkan dalam dua warna iaitu hitam dan coklat matte.

Skuter ini dipacu oleh enjin dua silinder selari crossplane DOHC 550.4 cc yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 50.9 hp pada 7,500 rpm dan tork 52 Nm pada 6,000 rpm, dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik CVT dan sistem tali sawat. Untuk menyesuaikan tunggangan dengan keadaan, penunggang boleh memilih dua mod, sama ada Energy atau Rain.

Memegang skuter seberat 238 kg ini ke atas jalan adalah suspensi yang terdiri daripada fork USD di hadapan (tanpa pelarasan) dan monoshock melintang dengan pelarasan pra beban di belakang. Kedua-dua rim adalah bersaiz 15 inci, dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

Brek AK550 menggunakan set cakera berkembar 270 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan, sementara di belakang terdapat cakera 260 mm dengan angkup dua piston. Selain fungsi brek parkir, sistem brek skuter ini juga datang dengan sistem Cornering ABS pintar yang dikatakan mempunyai sensor dan boleh mengawal kuasa brek pada setiap tayar mengikut keadaan.

Sebagai sebuah skuter maxi, AK550 datang pelbagai kemudahan antaranya penghadang angin boleh laras secara elektrik, cruise management, sistem kunci pintar serta ruang simpanan bawah tempat duduk yang dikatakan boleh menempatkan satu helmet fullface dan satu helmet open face.

Untuk paparan informasi, ia dilaksanakan oleh skrin digital dengan unit TFT bulat di bahagian tengah serta sistem Noodoe yang membolehkan ia disambung kepada telefon untuk kawalan fungsi navigasi, musik dan telefon. Tangki bahan api AK550 berkapasiti 14.5 liter dan tinggi tempat duduknya adalah 785 mm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *