Automation

Tujuh jalan sekitar Batu Caves ditutup mulai 10 malam ini hingga 28 Jan sempena Thaipusam – IPK Selangor

Spread the love


Tujuh jalan sekitar Batu Caves ditutup mulai 10 malam ini hingga 28 Jan sempena Thaipusam – IPK Selangor

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan telah mengumumkan sebanyak tujuh jalan di sekitar Batu Caves akan ditutup mulai 10 malam ini (22 Januari) hingga 28 Januari 2024 bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang perayaan Thaipusam yang berlangsung pada 25 Januari ini. Walau bagaimana pun, katanya, penutupan jalan terbabit bergantung kepada situasi semasa keadaan lalu lintas.

“Jalan yang ditutup sepanjang tempoh itu adalah simpang tiga Jalan Bunga Raya menghala ke Jalan Batu Caves, lampu isyarat Jalan Station (Batu Caves Bypass), susur dari arah bulatan Batu Caves MRR2 dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves.

“Selain itu, susur dari arah Gombak menghala ke Kuil Batu Caves, simpang tiga Jalan SBC 8 (jalan lama Batu Caves) dan simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves menghala keluar ke MRR2,” katanya menerusi sidang media sebentar tadi.

Beliau turut berkata, hebahan berkaitan penutupan jalan akan disiarkan melalui papan kenyataan elektronik dari arah bulatan Batu Caves menghala ke Gombak dan menerusi laman rasmi Fb Polis daerah Gombak dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Laluan alternatif yang dicadangkan oleh pihak polis akan dikemas kini melalui platform media sosial yang dinyatakan dari semasa ke semasa. Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif dan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya sambil menambah dianggarkan antara 1.5 juta hingga dua juta pengunjung dijangka akan menghadiri perayaan Thaipusam di Batu Caves.

Tambah beliau, seramai 1,600 pegawai dan anggota polis dari pelbagai jabatan di seluruh kontinjen Selangor akan bertugas dalam Op Palu 2024 di zon sekitar Batu Caves. “Sebarang kegiatan ataupun aktiviti yang mengganggu lalu lintas dan perhimpunan yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan serta merta. Pengunjung yang membawa kenderaan sendiri perlu meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan KTM Komuter bakal menawarkan tambang percuma kepada para pengguna Komuter Lembah Klang pada 24 hingga 25 Januari ini sempena Thaipusam. Jadi orang ramai yang ingin ke Batu Caves, digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitarnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *